Tragedi dekorasi lamaran

London: Seorang lelaki tidak menyangka kejutan untuk melamar teman wanitanya bertukar tragedi apabila rumahnya terbakar.

Lelaki itu menggunakan 100 batang lilin sebagai dekorasi untuk meraikan detik penuh bermakna berkenaan.

Bagaimanapun, lamaran itu bertukar ‘kejutan’ apabila rumahnya di flat Sheffield terbakar berpunca daripada lilin yang dipasang.

Tragedi itu didedahkan Bomba South Yorkshire di Twitter sebagai pengajaran untuk orang ramai berhati-hati menggunakan lilin.

Gambar menunjukkan ruang rumah itu hangus sebelum pasukan penyelamat memadamkan kebakaran.

Tiga anggota digerakkan untuk memadam kebakaran daripada merebak ke rumah lain.

“Soal siasat dengan pemilik rumah mendedahkan ruangan ini dipenuhi 100 lilin,” katanya.

Menurutnya, ruang tamu rumah itu dipenuhi belon dan sebotol arak manakala lelaki itu keluar ke bandar.

“Selepas melakukan dekorasi itu, dia keluar untuk menjemput kekasihnya bagi meraikan kejutan besar itu.

“Namun, ketika mereka kembali, flat mereka terbakar dipercayai berpunca dari lilin,” tulisnya.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan teman wanita lelaki itu bersetuju mengahwininya.

“Tolong, tolong, padamkan dengan betul apabila sudah selesai. Jangan letak berdekatan barang yang mudah terbakar, seperti langsir. Jangan tinggalkan 100 lilin terpasang tanpa pengawasan,” tulisnya.