Tragedi hitam sekeluarga
New Delhi: Sekurang-kurangnya 11 sekeluarga dari Pakistan ditemui mati di daerah Jodhpur, Rajasthan, India dipercayai membunuh diri.
Berdasarkan satu nota ditemui lokasi kejadian, polis mengesyaki anak perempuan kepada lelaki bernama Boduram, Lakshmi, 38, bertindak menyuntik ahli keluarganya dengan racun.
Penyiasat mengesyaki sebelum itu ahli keluarga itu makan makanan yang dicampur dengan pil tidur.
Semua ahli keluarga Lakshmi iaitu tiga wanita, dua lelaki dan lima kanak-kanak mempunyai kesan suntikan di tangan mereka.
Bagaimanapun, hanya Lakshmi ditemui dengan kesan suntikan pada kakinya sekali gus menguatkan andaian polis berhubung kejadian itu.
Polis percaya tragedi itu berpunca daripada perselisihan faham dalam kalangan keluarga.
Ia menyebabkan seorang daripada anak Boduram kembali ke Pakistan.
Dalam pada itu, India Today melaporkan sekeluarga itu adalah pelarian Hindu dari Pakistan dan tinggal di sebuah pondok di sebuah ladang di kampung Lodta.
Keluarga itu dipercayai menyewa sebahagian tanah itu untuk pertanian dan memutuskan untuk tinggal di ladang sama.
Sementara itu, media tempatan melaporkan hanya seorang ahli keluarga berkenaan dikenali sebagai Keval Ram terselamat.
Menurut lelaki itu, dia ada makan malam bersama keluarganya pada Sabtu sebelum dia ke kandang melihat lembunya dan tertidur.
Sekembalinya ke pondok keesokan paginya, Keval Ram menyedari seluruh keluarganya sudah meninggal dunia.
Ketika ini, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan kejadian berkenaan.