Tragedi malam Halloween

Quebec: Seorang penyerang berpakaian kostum abad pertengahan dan bersenjatakan pedang membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain ketika sambutan Halloween di Quebec City, malam Sabtu lalu.

Serangan itu berlaku di beberapa lokasi di kejiranan Old Quebec yang berhampiran dengan kawasan tumpuan pelancong di Chateau Frontenac dan bangunan parlimen wilayah Quebec.

Bagaimanapun, suspek ditahan pada awal pagi Ahad selepas pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran bagi memburu lelaki terbabit.

Media tempatan melaporkan suspek dikenali sebagai Carl Girouard yang mempunyai sejarah penyakit mental.

Bagaimanapun, setakat ini, tiada pengesahan identiti suspek daripada pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menolak dakwaan suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan atau pertubuhan keganasan.

Jurucakap polis berkata, serangan berkenaan sudah dirancang apabila suspek dikatakan pernah menyatakan niat untuk melakukannya lima tahun lalu.

Namun, dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Suspek bakal berdepan dengan dua tuduhan membunuh dan lima lagi cubaan bunuh.