Tribunal khas PBB tangguh keputusan kes bunuh Hariri
The Hague: Tribunal Khas Pertubuhan Bangsa-Bersatu di sini, menangguhkan keputusan kes pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri, pada 2005.
Ia susulan insiden letupan di Beirut, Lubnan pada Selasa yang setakat ini sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan mencederakan lebih 4,000 yang lain.
Tribunal Khas untuk Lubnan (STL) dalam satu kenyataan berkata, keputusan kes yang dijadualkan Jumaat ini ditangguhkan kepada 18 Ogos.
Mahkamah itu turut merakamkan takziah kepada mangsa kejadian berkenaan.
“Tribunal ini menzahirkan solidariti bersama rakyat Lubnan dalam menghadapi tempoh sukar ini,” katanya.
Empat ahli kumpulan Hizbullah dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan bom berani mati yang membunuh Hariri dan yang lain.
Pembunuhan itu mencetuskan pergolakan di Lubnan selama bertahun-tahun.
Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu di sini dijalankan secara in absentia (tanpa kehadiran tertuduh).
Keempat-empat tertuduh dibicarakan atas tuduhan membunuh Hariri dan 21 orang lain, cubaan membunuh 226 mangsa yang cedera dan konspirasi untuk melakukan serangan pengganas.
Mereka termasuk Salim Ayyash, 56, yang didakwa mengetuai serangan bom membabitkan trak dipenuhi bahan letupan yang diletupkan berhampiran konvoi kenderaan yang membawa Hariri pada 14 Februari 2005.
Selain itu, Assad Sabra, 43, dan Hussein Oneissi, 46, didakwa menghantar video palsu kepada saluran Al-Jazeera dengan mereka cerita ada satu kumpulan bertanggungjawab atas serangan berkenaan.
Sedangkan, kumpulan itu tidak wujud.
Seorang lagi tertuduh, Hassan Habib Merhi, 54, dituduh terbabit dengan perancangan serangan berkenaan.
Selain itu, panglima utama kumpulan Hizbullah, Mustafa Badreddine turut didakwa di mahkamah bagi tuduhan sama.
Bagaimanapun beliau dipercayai terbunuh dalam serangan udara Israel di sempadan Lubnan-Syria pada 2016.
Berita berkaitan: