Trump akhirnya ‘buka mulut’…

Washington: Presiden Donald Trump pada Khamis berkata, beliau akan meninggalkan Rumah Putih sekiranya Joe Biden secara rasmi disahkan menang Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang menjawab pertanyaan pemberita untuk kali pertama selepas hari pengundian pada 3 November lalu berkata, beliau akan berbuat demikian sekiranya undi elektoral mengesahkan kemenangan pesaingnya itu.

“Pasti, anda juga mengetahuinya,” kata Trump.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jika undi elektoral menunjukkan keputusan sebaliknya, adalah sukar baginya untuk mengaku kalah.

“Saya fikir akan berlaku banyak perkara sehingga 20 (Januari) ini,” katanya.

Pada pilihan raya baru-baru ini, Biden memperoleh 306 undi elektoral, berbanding Trump dengan hanya 232 undi.

Bagaimanapun, pemilih atau electors akan berhimpun pada 14 Disember untuk mengundi secara rasmi calon presiden sekali gus mengesahkan kemenangan Biden.

Trump sebelum ini tidak mahu meneruskan tradisi untuk mengaku kalah pada pilihan raya berkenaan dengan memberi alasan bahawa berlaku penipuan dalam proses pengundian.

Dalam pada itu, Biden, 78, pada minggu lalu sudah memperkenalkan beberapa individu termasuk diplomat veteran dan pembuat polisi sebagai calon bagi menganggotai pasukan keselamatan negara dan dasar luar negara AS.

Selain itu, beliau mengulangi azam untuk menangani krisis Covid-19 dan menyelesaikan individu di AS yang tidak mempunyai warganegara dalam tempoh 100 hari selepas beliau dilantik sebagai presiden.