Trump akui ambil hydroxychloroquine

Washington: Presiden Donald Trump, pada Isnin, mendedahkan beliau mengambil hydroxychloroquine, ubat anti-malaria yang dikatakan pakar pentadbirannya sebagai tidak sesuai untuk merawat Covid-19.

Trump, yang disahkan negatif daripada virus itu berkata, beliau sudah mengambil ubat berkenaan sebagai langkah pencegahan, selama seminggu setengah.

“Saya telan satu pil sehari,” katanya yang turut menambahkannya dengan zink.

Ditanya alasannya, beliau berkata; “Saya rasa ia adalah baik, saya dengar banyak benda bagus mengenainya.”

Trump sebelum ini menunjukkan minat untuk mempromosikan penggunaan hydroxychloroquine, meskipun sebilangan doktor berpendapat ia tidak berkesan untuk pesakit Covid-19.

Selain itu, agensi kerajaan Amerika Syarikat yang mengawal selia perkara berkenaan juga memberi amaran bahawa ubat itu tidak selamat untuk digunakan.

Setakat ini, valet peribadi kepada Trump dan Setiausaha Akhbar untuk Naib Presiden Mike Pence, Katie Miller disahkan positif virus berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19