Trump belum mengalah

Washington: Mahkamah Tinggi Pennsylvania, Sabtu lalu menolak satu lagi tuntutan pilihan raya yang dikemukakan penyokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Keputusan itu sekali gus menunjukkan hampir mustahil untuk penyokong Trump membatalkan keputusan pilihan raya presiden yang dimenangi calon Demokrat, Joe Biden.

Parti Republikan menuntut untuk membatalkan undi pos yang dimenangi Joe Biden dengan kira-kira 81,000 undi, atau membuang semua kertas undi dan membenarkan mahkamah negeri menentukan pemenang.

Bagaimanapun, mahkamah menolak kedua-dua tuntutan itu dengan sebulat suara dan menyifatkan permintaan kedua itu sebagai ‘luar biasa meminta mahkamah membatalkan kesemua 6.9 juta rakyat Pennsylvania yang mengundi dalam pilihan raya umum itu’.

Dalam tuntutan itu, pencabar mendakwa undang-undang Pennsylvania pada 2019 yang membenarkan undi pos adalah tidak berperlembagaan.

Hakim bagaimanapun berpandangan tuntutan mereka berhubung undang-undang yang difailkan pada 21 November sudah terlambat, iaitu lebih setahun selepas disahkan, dan keputusan pilihan raya adalah jelas.

Pennsylvania secara rasminya mengumumkan kemenangan Biden pada 24 November.

Ia sama dengan keputusan Mahkamah Rayuan Persekutuan Jumaat lalu yang menolak dakwaan Trump yang pilihan raya berkenaan tidak adil dan menolak penangguhan kemenangan Biden di Pennsylvania.

Trump juga enggan mengalah dengan mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya pada 3 November lalu walaupun kebanyakan keputusan mahkamah tidak berpihak kepadanya.

Selasa lalu, buat pertama kalinya Trump berkata akan meninggalkan Rumah Putih jika Biden disahkan secara rasmi sebagai pemenang oleh Electoral College pada 4 Disember depan.