Trump bersetuju peralihan kuasa, tetapi masih tidak mengalah

Washington: Donald Trump semakin hampir mengakui kekalahannya pada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) selepas agensi kerajaan yang bertanggungjawab melancarkan peralihan kuasa kepada Joe Biden ke Rumah Putih tidak lagi menyekat sebarang bantuan.

Dalam ciapan di Twitter, Trump mengakui sudah tiba masanya bagi Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) melakukan apa yang perlu dilakukan.

Bagaimanapun, dalam ciapan itu, beliau tetap bertegas enggan mengakui kekalahannya dan berikrar untuk terus berusaha menentang keputusan pilihan raya berkenaan.

Trump menerusi ciapan itu masih menolak keputusan pilihan raya dan mengatakan: “Kes kami masih tetap diteruskan, kami akan terus berjuang dan saya yakin kami akan menang!”

Namun persetujuan Trump membenarkan GSA bekerjasama dengan pasukan peralihan Biden memberi petunjuk bahawa beliau sebenarnya tewas pada pilihan raya 3 November lalu.

Ini bermakna pasukan Biden dari Demokrat akan memiliki akses ke atas dana, ruang pejabat dan peluang bertemu dengan pegawai Persekutuan.

Pejabat Biden dalam kenyataannya beberapa jam sebelum itu mengumumkan, pasukan yang sangat berpengalaman akan dicalonkan untuk jawatan luar negeri dan keselamatan AS, mengatakan GSA kini akan membenarkan, “sokongan yang diperlukan untuk melakukan peralihan kuasa yang lancar dan damai.”