Trump, boleh diam sekejap?

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan calon Demokrat Joe Biden bersaing sengit dalam debat presiden pusingan pertama 2020 yang berlangsung pada malam Selasa, menyaksikan sesi itu beberapa kali terhenti disebabkan celahan dan gangguan pihak lawan.

Moderator Chris Wallace mengecam Trump, yang menurutnya lebih kerap mengganggu dan menyampuk ketika Biden berbahas, berbanding bekas naib presiden itu, lapor Agensi Anadolu.

“Tuan Presiden, tolong berhenti,” kata Wallace setelah beberapa kali Presiden itu mengganggu Biden.

“Negara akan lebih baik jika kita biarkan kedua-dua berucap dengan sedikit gangguan. Saya memohon kepada anda, tuan, untuk berbuat sedemikian”

Biden juga mengecam Trump, yang disifatkannya ‘presiden terburuk yang pernah Amerika ada’.

“Trump bolehkah anda diam sekejap” kata Biden memandangkan presiden itu beberapa kali mencelah.

“Boleh tolong diam, kawan?” tambah Biden.

Debat itu berlangsung di Cleveland, Ohio, merangkumi pelbagai topik, termasuk perkauman, pencapaian calon, pandemik Covid-19, keganasan di bandar Amerika dan perubahan iklim.

Ketika perbahasan, Trump berulang kali dipaksa untuk mempertahankan rekod pencapaian pentadbirannya.

Trump sering kali berdepan kritikan mengenai caranya menangani isu ketuanan kulit putih, terutama setelah perhimpunan besar-besaran di Charlottesville, Virginia yang menarik ratusan neo-Nazi dan nasionalis kulit putih.

Biden menggelar presiden sebagai ‘rasis’ yang menggunakan ‘bermacam-macam strategi politik untuk mencetuskan kebencian kaum, perpecahan kaum’.

“Ini bukan tahun 1950. Semua strategi politik mengenai perkauman sudah tidak sesuai lagi. Pinggir bandar pada umumnya kini sudah bergabung,” kata Biden.

Biden terus mendahului dengan selesa dalam pengundian di seluruh negara, meletakkan beban di bahu Trump untuk mengubah status quo.

Belum jelas sama ada kedua-dua calon dapat menghasilkan banyak perbezaan dalam kalangan pengundi yang setakat ini belum membuat keputusan.

Biden dan Trump sekali lagi akan berada di pentas debat pada 15 dan 22 Oktober.

Sementara itu, Naib Presiden Mike Pence dan Senator Kamala Harris akan berdebat pada 7 Oktober, satu-satunya acara debat untuk calon naib presiden.