Trump dikritik buat penampilan di luar hospital

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menimbulkan kemarahan komuniti perubatan pada Ahad apabila melanggar protokol dengan apabila tampil di luar hospital tempat beliau dirawat akibat Covid-19.

Beliau yang berada di dalam kenderaan kalis peluru dilihat memakai pelitup muka dan melambai kepada penyokongnya yang berada di luar pusat perubatan tentera Walter Reed.

Ia dikatakan sebagai usaha untuk memperlihat kesihatannya berada dalam keadaan baik selepas dijangkiti virus berkenaan.

Bagaimanapun, langkah itu dikatakan menyalahi garis panduan pentadbirannya yang memerlukan pesakit untuk mengasingkan diri ketika menjalani rawatan.

Selain itu, ia hanya memberikan risiko terhadap ejen Perkhidmatan Rahsia yang menjaga keselamatannya.

Sebelum ini, Trump yang sebelum ini beberapa kali mengkritik garis panduan kesihatan berhubung Covid-19 dan menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung virus itu.

Terdahulu, presiden menerusi satu video di Twitter berkata, beliau belajar banyak perkara mengenai Covid-19 dan ‘betul-betul mempelajarinya’ apabila melawan virus itu.

Bagaimanapun, pakar kesihatan sebaliknya mengkritik gimik itu dengan mengatakan bahawa presiden sama sekali tidak belajar.

“Setiap orang dalam kenderaan (dinaiki presiden) ketika penampilan presiden yang tidak perlu diadakan itu perlu menjalani kuarantin selama 14 hari,” kata James Phillips, Ketua Bencana Perubatan di Universiti George Washington.

“Mereka boleh jatuh sakit. Mereka boleh mati. Untuk ‘teater politik’. Diketuai oleh Trump hanya untuk membahayakan nyawa individu terbabit. Ini tidak masuk akal,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap Rumah Putih, Judd Deere berkata, langkah keselamatan sudah diambil termasuk semua individu terbabit memakai peralatan perlindungan.

Selain itu katanya, penampilan itu dibenarkan oleh pasukan perubatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19