Trump kini jadi pemain golf pula

London: Patung lilin Donald Trump yang dipamerkan di Madame Tussauds di sini, digayakan semula menjadi pemain golf berbanding persalinan sut gaya Presiden Amerika Syarikat, sebelum ini.

Gambar menunjukkan kakitangan muzium lilin itu mendandan rambut presiden berkenaan manakala, jurumekap menata rias wajahnya.

Terletak di sisi Trump adalah beg golf dan beliau mengenakan topi merah popularnya yang tertulis Trump 2020 Keep America Great.

Trump juga mengenakan baju lengan panjang ungu, senada dengan seluar golf, lapor The Sun.

Dalam Twitter, muzium itu menciap, “Kempen beliau (Trump) mungkin tidak menjadi, tetapi @RealDonaldTrump kini dedikasikan lebih banyak masanya untuk sukan kegemaran seperti #MadameTussaudsLondon yang menggayakan semula patungnya dalam persalinan golf sebagai cerminan pakaian berpotensi 2021.”

Trump pada Sabtu dilihat bermain golf di Virginia ketika Joe Biden menghampiri kemenangan dalam pilihan raya presiden selepas memenangi 20 undi elektoral di Pennsylvania.

Madame Tussauds di Berlin membuang patung lilin Trump ke dalam tong sampah sebelum pilihan raya bermula yang mencerminkan nasib pemimpin itu selepas keputusan diperoleh.