Trump, Melania kena kuarantin

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis berkata, beliau dan isterinya, Melania akan menjalani kuarantin.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa kedua-duanya berbuat demikian sementara menanti keputusan ujian saringan Covid-19 mereka.

Trump dan Melania sebelum ini menjalani ujian saringan berkenaan selepas seorang penasihat kanan kepada presiden itu, Hope Hicks disahkan positif Covid-19.

“Hope Hicks, yang bekerja keras tanpa rehat , baru sahaja disahkan positif Covid-19.

“Amat teruk! Saya dan Wanita Pertama (Melania) masih menunggu keputusan ujian saringan kami. Buat masa ini, kami akan mula menjalani proses kuarantin!” ciap Trump menerusi Twitter.

Hicks, 31, mengembara dengan Trump beberapa kali minggu ini, termasuk ketika menaiki kapal Marine One, helikopter presiden, untuk kempen pemilihan presiden pada Rabu.

Selain itu, individu turut bersama Trump ketika presiden itu dalam perjalanan ke debat presiden di Cleveland, Ohio, Selasa lalu.