Trump ‘mengamuk’, Biden hampir menang

Washington: Presiden Donald Trump mengulangi dakwaan bahawa kemenangannya dirampas ketika pencabarnya Joe Biden dari Parti Demokrat hampir memenangi Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS).

“Mereka cuba mencuri pilihan raya ini,” kata Trump dalam kenyataan luar biasa dalam sidang media di Rumah Putih selepas dua hari pusat pengundian ditutup.

Bagaimanapun, presiden itu tidak mengemukakan apa-apa bukti bagi menyokong dakwaannya dan tidak mahu melayan soalan daripada pemberita pada sidang media berkenaan.

Sebaliknya, Trump menggunakan tempoh 17 minit pada sidang media itu untuk ‘menyerang’ proses demokrasi negara, yang tidak pernah didengar daripada mana-mana presiden AS.

Menurut Trump, Parti Demokrat menggunakan undi tidak sah untuk mencuri kemenangan.

“Jika anda mengira undi yang sah, saya akan menang dengan mudah,” katanya.

Selain itu, beliau mempersoalkan integriti undi pos, berbanding individu yang hadir mengundi di pusat pengundian pada 3 November.

Perubahan dalam kaedah pengundian tahun ini kepada undi pos menunjukkan pengundi mahu melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi tidak mahu terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

Ketika ini, lebih 230,000 rakyat AS maut akibat virus itu.

Memandangkan Trump menafikan keseriusan virus itu, ramai penyokongnya tidak menyokong undi pos dan tampil mengundi di pusat pengundian, berbanding penyokong Biden.

Beberapa stesen penyiaran utama AS menghentikan liputan acara Trump itu tidak lama selepas sidang media itu bermula, dengan MSNBC menyatakan keperluan untuk memperbetulkan dakwaan palsu dibuat oleh presiden.

Kenyataan Trump itu dibuat susulan keputusan tidak rasmi menunjukkan Biden mendahului undi di beberapa negeri.

Biden, 77, hanya memerlukan kemenangan di satu atau dua negeri untuk memiliki majoriti untuk ke Rumah Putih.

Trump pula memerlukan kemenangan di beberapa negeri untuk terus berkuasa.

Dalam pada itu, Biden ketika memberitahu pemberita di Wilmington, Delaware: “Kami terus berasa selasa. Kita tidak sangsi bahawa apabila undi selesai dikira, saya dan Senator Kamala Harris akan diumumkan sebagai pemenang”.

Ini adalah penampilan pertama Trump memandangkan sebelum ini hanya menyepi dan mengeluarkan beberapa kenyataan bertulis sejak malam Selasa lalu.

Biden, yang berazam untuk memulihkan negara itu daripada masalah polarisasi yang dilakukan Trump sejak empat tahun berkuasa, memohon supaya ‘rakyat kekal bertenang’.

Di Georgia yang secara tradisinya menyokong parti Republikan, Trump hanya mendahului tipis dengan 3,500 undi menyebabkan persaingan sengit.

Perhatian kini tertumpu di Pennsylvania apabila kiraan undi pos menunjukkan Biden mengekori rapat Trump.

Jika Biden memang di Pennsylvania, beliau akan menerima 20 undi elektoral sekali gus melepasi jumlah 270 yang diperlukan untuk muncul pemenang.