Trump mungkin dibenar keluar hospital, Isnin

Washington: Presiden Donald Trump yang sedang menerima rawatan selepas dijangkiti Covid-19 mungkin boleh discaj dari hospital seawal Isnin, lapor agensi berita Xinhua.

“Beliau sudah boleh bangun dan duduk. Kami cadang hari ini untuk beri makan dan minum dan bantu beliau bangun dan bergerak,” kata pegawai perubatan presiden, Brian Garibaldi, kepada wartawan di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di Bethesda, Maryland pada Ahad.

Katanya, jika keadaan presiden bertambah baik “dijangka beliau boleh discaj paling awal esok sambil meneruskan rawatan.”

Trump pertama kali didiagnosis dengan virus itu pada Khamis dan dihantar ke pusat rawatan berkenaan pada Jumaat, beliau disuntik Remdesivir, ubat COVID-19 dihasilkan syarikat biofarmaseutikal Amerika Syarikat, Gilead Sciences.

Presiden turut menerima satu dos suntikan ubat antibodi yang dibangunkan oleh syarikat Regeneron.

Dalam rakaman video disiarkan di Twitter pada Sabtu, Trump berkata, keadaan beliau “jauh lebih baik” tetapi mengakui “hari-hari berikutnya” akan menjadi medan “ujian sebenar.”