Trump nafi dibawa bersembunyi
Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menafikan laporan bahawa beliau dikejarkan ke kubu bawah di dalam White House, pada malam Jumaat lalu.
Ia ketika demonstrasi bagi membantah insiden yang menyebabkan kematian lelaki Afrika-Amerika, George Floyd berlangsung di kawasan berhampiran bangunan berkenaan.
Trump ketika memberitahu radio Fox News sebaliknya berkata, beliau ada mengunjungi kubu berkenaan pada siang hari untuk tujuan pemeriksaan.
“Laporan itu tidak betul… saya hanya berada di situ (kubu bawah tanah) untuk tempoh sekejap sahaja. Ia untuk pemeriksaan, mungkin anda akan memerlukannya,” katanya seperti dilaporkan BBC.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Trump terpaksa dikejarkan ke kubu berkenaan selepas demonstrasi tercetus berhampiran White House.
Sejak sembilan hari lalu, ribuan orang melanggar perintah berkurung bagi menyertai tunjuk perasaan bagi menyuarakan tidak puas hati atas kematian Floyd.
Dalam insiden 25 Mei lalu, seorang pegawai polis berkulit putih dikatakan bertindak di luar batas kemanusiaan ketika menahan mangsa.
Rakaman video menunjukkan pegawai polis menekan lututnya di leher mangsa walaupun Floyd berulang kali mengatakan dia tidak boleh bernafas.
Anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Berita berkaitan
• LA lanjut perintah berkurung
• Empat polis didakwa bunuh Floyd
• Abai arahan