Trump pertahan remaja tembak mati penunjuk perasaan

Bogota: Presiden Donald Trump pada Isnin membela suspek lelaki bersenjata berusia 17 tahun Kyle Rittenhouse yang didakwa menembak tiga penunjuk perasaan di Kenosha, Wisconsin minggu lalu.

Trump ketika ditanya dalam sidang media di Rumah Putih adakah beliau mempertahankan Rittenhouse kerana mengambil tindakan sendiri, katanya remaja itu sudah diserang dengan ganas, dia bertindak mempertahankan diri,” lapor agensi berita Anadolu memetik kata-kata Trump.

“Ia adalah situasi yang menarik. Anda melihat rakaman kejadian sama seperti yang saya lihat, dan dia cuba menjauhkan diri daripada mereka, saya rasa, ia kelihatan seperti, dia jatuh dan kemudian mereka menyerang dengan ganas dan itu yang kita lihat sekarang dan ia masih dalam siasatan,” kata Trump.

“Saya rasa dia berada dalam masalah yang sangat besar. Dia mungkin akan terbunuh,” tambahnya.

Rittenhouse yang dilaporkan menyokong gerakan propolis Blue Lives Matter, berdepan dua pertuduhan membunuh dan satu cubaan membunuh susulan kejadian yang berlaku pada 25 Ogos lalu menyebabkan dua penunjuk perasaan maut.

Kejadian tembakan itu berlaku di bandar yang berhari-hari dicengkam protes terhadap ketidakadilan kaum dan keganasan polis, selepas Jacob Blake, seorang lelaki kulit hitam, ditembak tujuh kali pegawai polis berkulit putih.

Peguam bela Rittenhouse menyatakan remaja itu bertindak membela diri, tetapi aduan yang diajukan oleh pendakwaraya Kenosha County menyatakan dia melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang tidak bersenjata.

Penangkapannya dibuat selepas seorang individu memuatnaik rakaman kejadian itu di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan tiga tembakan kedengaran dengan remaja berkulit putih sambil memegang selaras senapang melarikan diri dari tempat kejadian sambil berkata di telefon bimbitnya, “Saya baru saja membunuh seseorang.”

Individu yang memakai seluar biru dan kemeja hijau yang sama dilihat dalam rakaman video pemerhati yang lain menunjukkan dia sedang dikejar penunjuk perasaan sebelum tersandung dan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan ketika mereka berusaha merampas senjatanya.

Rittenhouse ditangkap keesokannya di kejiranan Illinois.

Sidang akhbar presiden itu diadakan hanya beberapa jam selepas calon presiden Demokrat Joe Biden menuduh Trump mencetuskan keganasan pada tunjuk perasaan baru-baru ini.

Biden dalam ucapannya mengecam Trump kerana menolak “untuk menegur kekerasan.”

“Beliau bahkan tidak akan menafikan salah seorang penyokongnya yang didakwa melakukan pembunuhan. Beliau terlalu lemah, terlalu takut untuk menghentikan kebencian yang dicetuskannya,” ciap Biden di Twitter.