Trump sifatkan terjangkit Covid-19 sebagai ‘rahmat’

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sudah kembali bertugas di Oval Office, Rumah Putih menyifatkan jangkitan Covid-19 yang dialaminya sebagai ‘rahmat daripada Tuhan’.

Trump masih bekerja keras sejak disahkan positif virus itu termasuk menyiarkan secara langsung kepulangannya ke Rumah Putih.

Ia dilihat bertujuan untuk menunjukkan kejayaan peribadinya dalam melawan jangkitan berkenaan.

“Saya fikir saya mendapat virus ini kerana ia adalah rahmat daripada Tuhan,” kata Trump menerusi satu video.

Bagaimanapun, pencabarnya, Joe Biden menyelar presiden itu kerana mengambil mudah terhadap jangkitan virus berkenaan yang kini sudah membunuh lebih 210,000 orang di AS.

“Saya fikir adalah satu tragedi apabila presiden mendakwa bahawa Covid-19 bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangkan sedangkan lebih 210,000 orang (di AS) sudah meninggal dunia,” kata Biden kepada wartawan.

Kes positif membabitkan individu yang berkhidmat di Rumah Putih dan di sekitar Washington semakin meningkat.

Pada Rabu, Pentagon mengesahkan pegawai kanan Kor Marin, Jeneral Gary Thomas, juga positif Covid-19.

Trump kembali ke Rumah Putih selepas tiga hari menerima rawatan dan pada Rabu, doktor mengesahkan bahawa presiden itu tidak menunjukkan sebarang gejala Covid-19 dan tidak mengalami demam sejak empat hari lalu.

Trump juga sudah menyatakan hasratnya untuk kembali berkempen dan menyertai siri kedua debat presiden di Miami pada 15 Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19