Trump sudah pulang!

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meninggalkan hospital tentera pada Isnin selepas empat hari menerima rawatan kecemasan kerana dijangkiti Covid-19.

Sebelum berbuat demikian, Trump menerusi akaun Twitternya berkata, rakyat Amerika yang sudah kehilangan hampir 210,000 orang akibat virus itu tidak perlu berasa takut.

Pergerakan beliau keluar dari hospital berkenaan disiarkan secara langsung menerusi televisyen apabila berjalan keluar dari bangunan sebelum menaiki limosin.

Presiden kemudian menunjukkan ibu jari sebagai isyarat bagus sebelum menaiki helikopter Marine One yang terletak berhampiran untuk ke Rumah Putih.

Sebaik helikopter mendarat, Trump berjalan menaiki tangga di balkoni Rumah Putih yang dikenali sebagai South Portico, sebelum menanggalkan pelitup mukanya untuk memberikan tabik hormat kepada Marine One.

Menjelang sebulan sebelum Pemilihan Presiden pada 3 November, pungutan suara menunjukkan populariti Trump berada di belakang pencabarnya, Joe Biden.

Kepulangannya ke Rumah Putih dilihat sudah dirancang dengan sebaik mungkin bagi menunjukkan presiden itu dalam keadaan sihat dan berupaya meneruskan kempennya.

Dalam pada itu, media AS melaporkan bahawa Setiausaha Media kepada Trump, Kayleigh McEnany menjadi individu terbaharu yang disahkan positif Covid-19.

Individu lain yang dijangkiti adalah isteri Trump, Melania; pembantu kanan presiden, Hope Hicks; pengurus kempen, Bill Stepien dan dua pembantu kepada McEnany .

Selain itu, laporan sama mendakwa lebih 12 orang daripada individu yang sering berada dekat dengan Trump, sama ada di luar atau di dalam Rumah Putih, positif virus itu.

Dalam pada itu, Biden lebih berhati-hati ketika melaksanakan kempennya dan sudah tiga kali menjalani ujian saringan yang menunjukkan calon itu negatif Covid-19.

Sementara itu, debat antara Naib Presiden Mike Pence dan pencabarnya, Senator Kamala Harris akan dilaksanakan dengan mengguna pakai penghadang kaca sebagai langkah keselamatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19