‘Trump tidak layak’

Washington: Senator Kamala Harris mendakwa Donald Trump gagal menangani pandemik Covid-19 sekali gus tidak layak untuk menjadi presiden Amerika Syarikat (AS) bagi penggal kedua.

AFP melaporkan Harris yang menjadi calon Parti Demokrat untuk jawatan naib presiden, jika Joe Biden dilantik sebagai presiden berkata, kegagalan itu menyebabkan lebih 210,000 orang sudah terkorban di negara ini.

Beliau yang menjadi wanita yang menjawat jawatan tertinggi dalam sejarah AS sekiranya berjaya memasuki Rumah Putih itu juga berkata, angka berkenaan kekal menjadikan negara ini paling terjejas akibat pandemik berkenaan.

“Rakyat AS menjadi saksi kegagalan terbesar yang tidak pernah dilakukan mana-mana presiden dalam sejarah negara ini.

“Amat jelas bahawa pentadbiran ini ternyata hilang hak untuk dipilih sekali lagi, berdasarkan perkara ini,” katanya pada program Debat Naib Presiden di Universiti Utah, Salt Lake City, Utah.

Harris berkata, Trump melayan kakitangan barisan hadapan sebagai ‘pekerja yang perlu berkorban’ sambil merujuk kenyataan presiden kepada wartawan Bob Woodward – ketika memberikan reaksi terhadap soalan mengapa Rumah Putih lambat bertindak menangani Covid-19.

“Presiden memaklumkan ini (Covid-19) adalah palsu dan mengambil mudah mengenainya,” kata Harris.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19