Trump tidak sabar mahu kembali bekerja

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang kini dikuarantin dan sedang mendapatkan rawatan akibat Covid-19 memuat naik video melalui ciapan di Twitter miliknya memaklumkan dia berasa sihat dan akan kembali bekerja tidak lama lagi.

Agensi berita Sputnik melaporkan Trump yang dilihat duduk di hadapan meja dengan berlatar belakang bendera AS memakai baju sut namun tidak bertali leher mengucapkan terima kasih kepada doktor dan petugas perubatan profesional di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed di Maryland.

“Saya datang ke sini dengan rasa tidak sihat, kini saya berasa lebih baik, mereka berusaha keras untuk saya kembali sihat,”

“Saya akan kembali semula dan tidak sabar untuk menyelesaikan kempen. Kita akan mengalahkan koronavirus ini atau apa sahaja anda gelar,” katanya.

Dalam video berdurasi empat saat itu, Trump mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan berkata beliau sedang berjuang untuk rakyat AS.

“Selama beberapa hari berikutnya ini, saya rasa itu adalah ujian yang sebenarnya, jadi kita akan lihat apa yang berlaku dalam beberapa hari ini,” kata Trump.

Beliau berkata ada diminta untuk berada di Rumah Putih ketika wabak pandemik melanda namun enggan berbuat demikian dan berkata sebagai pemimpin ia adalah tugasnya untuk berhadapan dengan masalah.

Trump mengatakan isterinya Melania berasa sihat kerana wanita itu lebih muda dan gejala Covid-19 yang dialami lebih ringan.

“Saya juga dalam keadaan baik dan berasa kita akan mendapat hasil yang sangat baik. Bagaimanapun kita dapat kepastian selepas beberapa hari lagi,” katanya.

Sementara itu, pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell melalui ciapannya di Twitter memaklumkan bahawa beliau ada bercakap dengan Trump melalui panggilan telefon dan berkata suara presiden kedengaran baik.

Jumaat lalu, Trump menerusi ciapan di Twitter mengesahkan beliau dan isteri positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19