Trump tidak serius jalankan tugas presiden – Obama

Washington: Barack Obama akan menggunakan ucapannya pada Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat pada Rabu untuk melabelkan Donald Trump sebagai seorang yang tidak serius dalam menjalankan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga Presiden AS pertama yang berkulit hitam berkata, dasar Trump selepas mengambil alih pentadbiran memberi ancaman besar kepada demokrasi di negara itu.

Menurutnya, ia menyebabkan ‘reputasi AS di mata dunia terjejas dan mengancam institusi demokrasi negara’.

Ucapan berkenaan dijangka disampaikan malam Rabu tetapi ia sudah dikeluarkan lebih awal.

Pada acara itu, Senator Kamala Harris bakal diumumkan secara rasmi sebagai calon Naib Presiden jika Joe Biden menang Pemilihan Presiden AS pada November ini.

Ia turut menjadi sejarah apabila buat kali pertama wanita berkulit hitam dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

Ucapan Obama itu adalah dua hari selepas isterinya, Michelle Obama, malam pembukaan Konvensyen Parti Demokrat menyifatkan Trump sebagai seorang yang tidak cekap dan tidak layak untuk menjadi Presiden AS.

“Donald Trump adalah presiden yang salah untuk negara kita,” katanya.

“Beliau sudah mempunyai masa secukupnya untuk membuktikan beliau mampu untuk melaksanakan tugas itu, tetapi gagal,” katanya.

Media semalam melaporkan Biden secara rasmi memenangi pencalonan presiden Parti Demokrat menerusi undian perwakilan di konvensyen kebangsaan parti itu pada Selasa.

Dalam pada itu, Trump dalam reaksinya mengenai perkara itu menyifatkan bekas presiden itu sebagai pemimpin yang ‘teruk’ dan tidak cekap.

“Presiden Obama tidak melakukan tugasnya dengan baik. Saya berada di sini (sebagai Presiden AS) disebabkan oleh Presiden Obama dan Joe Biden,” katanya kepada pemberita.