Tua tapi muda

Rio de Janeiro: Walaupun sudah mencecah 53 tahun, seorang personaliti media sosial dari Brazil menarik perhatian ramai apabila penampilannya tidak ubah seperti lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.

Edson Brandao (gambar) yang juga seorang jurulatih peribadi dan penulis dilihat kelihatan ‘semakin muda’ jika dibandingkan dengan fotonya pada usia 30-an dan 40-an.

Portal Odditycentral.com melaporkan walaupun Brandao tidak menafikan penampilannya dipengaruhi oleh faktor genetik, dia turut menjalani kehidupan secara sihat, menjaga kulit wajah dan sentiasa bersikap positif.

Lelaki itu juga bersumpah dia tidak pernah menjalani sebarang prosedur pembedahan untuk menjadikan wajah lebih muda berbanding usianya.

“Saya tak pernah membuat pembedahan plastik sepanjang hidup ini. Bagaimanapun, saya mencapai impian ini dengan cara semula jadi menerusi pemakanan, buah, sayuran dan minum air yang banyak.

“Setiap hari saya akan menggunakan krim anti-penuaan untuk mengekalkan keremajaan kulit dan wajah,” katanya kepada Media Drum World.

Brandoa berkata, dia makan apa saja namun dalam kuantiti yang sederhana termasuk mengelak daripada minum minuman bergula, makanan ringan dan bergoreng.

Selain itu, dia juga tidak pernah minum minuman berkarbonat selain tidak merokok dan mengambil dadah sepanjang hidupnya.

Selepas melihat ramai yang terkejut dengan usia sebenarnya, Brandao membuat keputusan untuk menggunakan fizikalnya dan pengetahuannya mengenai gaya hidup seimbang sebagai inspirasi kepada orang lain.

Untuk membantu orang ramai memperbaiki kehidupan mereka, lelaki itu turut berkongsi tips dan gaya hidup sihatnya menerusi laman web, media sosial dan selain menulis sebuah buku berjudul “Young After 40.”