Tuah hadiah anak

PARIS: Seorang akauntan di Itali menerima ‘durian runtuh’ apabila tiket rafel dihadiahkan anaknya diumumkan memenangi lukisan Pablo Picasso bernilai 1 juta euro (RM4.8 juta).

Rafel adalah antara kaedah mengumpul dana dengan pembelinya perlu membeli tiket bernombor sebelum pemenang dipilih secara cabutan bertuah.

CNN melaporkan Claudia Borgogno, 58, terkejut kerana meraih hadiah berkenaan.

“Saya tidak pernah menang apa-apa peraduan sebelum ini,” katanya yang tinggal di Ventimiglia, utara Itali.

Dia mengakui menyukai Picasso dan dapat menggantung salah satu lukisan terulung abad ke-20 itu di dinding pintu masuk rumahnya.

Anaknya, Lorenzo Naso membeli dua tiket rafel itu pada Disember lalu dan menghantar satu daripadanya kepada ibunya.

“Ini mungkin keputusan terbaik dalam hidup saya,” katanya.

Rafel berkenaan dianjurkan menerusi inisiatif amal Picasso for 100 Euros selepas menerima kelulusan daripada Pentadbiran Picasso.

Lebih 200,000 orang menyertai program berkenaan dengan membeli setiap tiket dijual pada harga 100 Euro (kira-kira RM476).

Pemilihan pemenang dibuat menerusi sistem elektronik dan ia diselia oleh rumah lelong terkemuka, Christie’s di Paris.

Hasil kutipan disalurkan untuk projek pembekalan air bersih untuk sekolah dan penduduk kampung di Madagascar, Cameroon dan Maghribi.

Dalam pada itu, pengumpul seni yang juga jutawan, David Nahmad, mengatakan karya itu bernilai ‘sekurang-kurangnya dua atau tiga kali ganda’ daripada harga asal.

Lukisan berkenaan bertajuk ‘Nature Morte’ (Still Life) dihasilkan Picasso pada 1921 itu dan mempunyai tandatangan pelukis berkenaan.