Tujuh bunker gergasi

Washington: Bunker atau kubu pertahanan di bawah tanah amat penting ketika berlaku peperangan.

Beberapa negara sudah membina kemudahan itu dengan pelbagai kelengkapan canggih dengan ada yang mempunyai restoran, pawagam dan kebun tanaman.

Bunker dibangunkan untuk menahan kesan letupan, mengatasi tekanan dan gelombang kejutan serta berupaya menghalang kesan radiasi.

Memetik War History Online, kebanyakan bunker dibangunkan di bawah tanah kerana tanah berfungsi sebagai perisai radiasi dan menjadi pelindung daripada kerosakan telinga serta organ dalaman lain dari gelombang kejutan.

Walaupun terletak di bawah tanah, tidak semua bunker dibina dengan ruang sempit dan sesak.

Ada beberapa bunker yang sangat luas sehingga mencapai keluasan puluhan hektar.

Berikut adalah senarai tujuh bunker terbesar yang pernah dibina;

1. Terowong Sonnenberg, Switzerland

Dibina sebagai terowong lebuh raya, ia turut mempunyai fungsi sebagai antara bunker terbesar dunia yang mampu memuatkan 20,000 orang.

Terowong sepanjang 1.5 kilometer (km) ini dibina melengkung dan berupaya menahan tekanan tinggi seperti ledakan nuklear pada jarak satu kilometer darinya.

Menariknya, 14 jam diperlukan untuk menutup pintu kubu ini yang seberat 350 tan.

Selain, kemudahan asas, ia turut menempatkan penjara, dewan bedah dan dilengkapi lampu khas bagi menunjukkan waktu siang atau malam.

Bagaimanapun, bunker ini ditutup pada 1987 tetapi ia masih berfungsi sebagai lebuh raya.

2. Dixia Cheng, China

Bandar bawah tanah ini dikatakan mampu menampung enam juta penduduk di Beijing.

Kubu pertahanan bawah tanah itu dibina pada 1969 dengan pelbagai kelengkapan dan mampu menahan serangan senjata biologi dan nuklear.

Dilaporkan, bunker itu mempunyai hampir 90 pintu yang boleh dimasuki dari bangunan premis perniagaan dan pejabat pemerintahan.

Dixia Cheng juga mempunyai kemudahan restoran, pawagam dan kebun tanaman.

KOMPLEKS Gunung Raven Rock, AS.
KOMPLEKS Gunung Raven Rock, AS.

3. Gunung Cheyenne, Amerika Syarikat (AS)

Kubu ini terletak Colorado dan berkeluasan lima hektar dengan kedalaman 600 meter di bawah tanah.

Bangunannya diselaputi granit dan tapak lama kepada pangkalan Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD).

Uniknya, bunker ini mempunyai kira-kira 1,000 mata air dan rangkaian penyambung paip fleksibel, yang akan menjadikan struktur tidak bergeser lebih dari satu inci sekiranya berlaku gempa bumi atau letupan.

Pintunya seberat 25 tan dan dapat menahan ledakan nuklear sehingga 30 megatan.

4. Kompleks Gunung Raven Rock, AS

Kubu pertahanan yang dikatakan dapat menahan ledakan bom nuklear ini terletak antara Pennsylvania dan Maryland.

Barack Obama, bekas Presiden AS, sebelum ini, membuka bunker itu untuk kunjungan orang awam.

Kubu ini dipercayai akan berfungsi sebagai Pentagon sekiranya berlaku serangan nuklear dan dipercayai mempunyai terowong khas ke tempat percutian presiden AS iaitu Kem David.

Menurut artikel Pittsburgh Press pada 1991, bunker seluas 91,000 meter persegi itu memiliki kemudahan hampir sama dengan Pentagon dan mempunyai kafe.

THE Greenbrier Bunker, AS.
THE Greenbrier Bunker, AS.

5. Metro Moscow, Rusia

Lokasi kubu ini masih menjadi teka-teki kerana ada yang berpendapat ia adalah mitos semata-mata.

Metro Moscow mulai popular menerusi novel yang ditulis Vladimir Gonik berjudul Preispodniaia pada 1992.

Ia menceritakan terdapat bunker tersembunyi di sistem kereta api bawah tanah di Moscow.

Sebahagian kisahnya dipaparkan di akhbar Sovershenno Sekretno dan penulisnya mendakwa mengumpulkan maklumat lebih 20 tahun mengenai bunker dengan kedalaman antara 200 hingga 300 meter yang dapat menampung kira-kira 10,000 orang.

6. The Greenbrier Bunker, AS

Kubu pertahanan ini berkonsepkan hotel terletak di pergunungan Virginia Barat.

Bilik kecil berharga AS$228 (RM928) semalam dibangunkan tentera AS sebagai hospital tentera dan tempat penahanan diplomat Jerman dan Jepun pada Perang Dunia Kedua.

Bunker ini sangat besar dan mampu menampung 1,000 orang termasuk anggota Kongres AS.

Ia dikatakan akan menjadi lokasi ahli Kongres menjalankan tugas sekiranya berlaku serangan nuklear di negara itu.

7. Burlington Bunker, United Kingdom

Ia dibina pada 1950-an dan seluas 35 hektar dengan kapasiti 4,000 orang.

Jika terjadi serangan nuklear, penghuninya boleh menetap di situ selama tiga bulan.

Ia mempunyai semua kemudahan termasuk fasiliti kesihatan.

Bagaimanapun, Burlington Bunker mulai ditinggalkan pada 1990-an selepas kerajaan tidak meluluskan cadangan pembaikan dan menaik taraf kubu itu dengan kos kira-kira 40 juta pound sterling (kira-kira RM217 juta).