Tukang gunting tembak pelanggan mungkir janji

Georgia: Seorang tukang gunting hilang pertimbangan dan menembak dua pelanggannya yang tidak memenuhi temu janji yang sudah dibuat.

John Digiovanni, 35, bagaimanapun ditahan polis 30 September lalu selepas pihak berkuasa menerima maklumat yang dibuat seorang daripada mangsa.

Menurut laporan WPTV, suspek menembak dua pelanggannya di tempat parkir di sebuah gereja di United Methodist.

Mangsa memaklumkan kepada polis sebelum kejadian mereka membuat temu janji untuk memotong rambut di salon suspek beberapa hari sebelum itu.

Namun, selepas menunggu hingga jam 2 petang, mangsa bagaimanapun tidak muncul seperti yang dijanjikan menyebabkan suspek naik angin.

Suspek kemudian menghubungi seorang daripada mangsa dan menghamburkan kata- kata kesat kerana tidak menepati janji.

Bagi meredakan kemarahan, dua mangsa kemudian mengajak suspek untuk bertemu di sebuah gereja bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Bagaimanapun, pada malam kejadian, suspek yang tiba dengan menaiki kereta menjerit sebaik tiba tanpa sempat mangsa memberikan penjelasan lanjut, lapor media Sun Sentinel.

Lelaki itu kemudian terus keluar dari keretanya lalu mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan tembakan.

Selepas melepaskan beberapa das tembakan, suspek masuk ke dalam kereta dan berlalu pergi dari lokasi kejadian.

Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.

Suspek kini ditahan sementara di penjara Palm Beach untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis.