Tukang sapu jadi ketua daerah

Moscow: Petugas pembersihan di pedalaman Russia menjadi perhatian dunia apabila berjaya memenangi pemilihan ketua daerah Povalikhino.

BBC News melaporkan, Marina Udgodskaya, 35 tahun, menewaskan Nikolai Loktev dari parti United Russia dengan meraih 62 peratus undian.

Loktev adalah salah seorang majikan tempat Udgodskaya bekerja, menawarkan wanita itu menjadi pencabarnya sebagai memenuhi syarat minimum pemilihan pemimpin yang memerlukan dua calon.

Udgodskaya ketika kemunculan pertama selepas kemenangannya, menyifatkan dirinya sebagai calon ‘palsu’ yang tidak bersedia untuk meraih perhatian segera.

“Saya tidak fikir orang akan memilih saya.

“Saya tidak buat apa-apa pun,” katanya.

Katanya, walaupun berubah jawatan, dia tetap meneruskan kerja mengemas dan membersih barangan milik Loktev yang ditewaskannya sebelum lelaki itu meninggalkan pejabat itu.

Sementara itu, Loktev yang juga bekas anggota polis berusia 58 tahun menerima kekalahannya dengan hati terbuka.

“Saya sudah melakukan semua yang diperlukan dan tiada masalah di kampung.

“Jelas, rakyat mahukan perubahan. Saya tidak kecewa, mereka sudah memilihnya jadi biarlah dia buat kerjanya,” katanya.

Udgodskaya bekerja sebagai petugas pembersihan di pejabat bangunan pentadbiran tempatan di Povalikhino, luar bandar Russia sejak empat tahun lalu.

Pada Khamis, Udgodskaya dilantik sebagai pemimpin Povalikhino, yang terbesar dari 29 kampung di wilayah Kostroma 300 kilometer dari timur laut Moscow.

Jumlah populasi kawasan itu kira-kira 400 orang.