Tunggu 14 hari sebelum mohon kali kedua

Makkah: Jemaah umrah perlu menunggu sehingga 14 hari sebelum menempah tarikh untuk menunaikan ibadat itu buat kali kedua.

Menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, tempahan boleh dibuat menerusi aplikasi I’tamarna yang akan dilancarkan android tidak lama lagi.

“Jemaah boleh mengerjakan umrah sebanyak dua kali, tetapi mereka perlu menunggu sehingga 14 hari sebelum dibenarkan semula.

“Ia bagi memberi peluang kepada orang lain menunaikan ibadat itu, selari dengan pelbagai langkah keselamatan bagi mengekang penularan koronavirus,” kata Ketua Perancang dan Strategi di Kementerian Haji dan Umrah, Dr Amr Al-Maddah kepada Arab News.

Kementerian juga sedang mengkaji lokasi bersesuaian yang boleh digunakan jemaah bagi mengekalkan penjarakan fizikal sekali gus mematuhi protokol kesihatan.

Al-Maddah berkata, setakat ini, sebanyak 35,000 permohonan pendaftaran umrah sudah diterima pihaknya.

Jemaah akan mula menunaikan umrah pada 4 Oktober dalam fasa pertama rancangan umrah tahun ini.

Pada fasa pertama, jemaah akan menunaikan umrah pada enam waktu berbeza setiap hari, dengan tiga jam diperuntukkan kepada mereka.

Menurutnya, jemaah akan memulakan ibadat pada tengah malam dan kesemua lokasi akan dinyahkuman sebelum ketibaan kumpulan jemaah.

Setiap kumpulan juga akan dipantau penyelia bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Bilik kuarantin turut disediakan di hotel sekiranya disyaki terdapat kes Covid-19.

Fasa kedua umrah dijangka bermula dua minggu selepas fasa pertama dengan penilaian secara komprehensif daripada operasi fasa pertama bagi mengenalpasti sebarang kekurangan dalam kaedah pengendaliannya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19