Tunjuk perasaan antikerajaan di Thailand

Bangkok: Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan kembali memenuhi jalan raya semalam, mengulangi tuntutan mereka untuk perubahan politik walaupun berlaku rusuhan menyebabkan sekurang-kurangnya 55 orang cedera dalam protes semalam.

Penunjuk perasaan yang memakai baju hujan, topi keledar dan topeng berikutan rusuhan semalam apabila polis melepaskan meriam air dan gas pemedih mata di luar Parlimen, berkumpul di daerah perniagaan Bangkok di Ratchaprasong mengulangi tuntutan termasuk desakan supaya perdana menteri meletak jawatan.

Mereka berarak ke Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand, kira-kira sejauh 100 meter.

Penunjuk perasaan menyembur air dan melempar cat ke ibu pejabat polis itu dan menyimbah cat pada papan tanda di pintu masuk.

Kelmarin, polis antirusuhan Thailand menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan antikerajaan yang cuba memotong kawat duri dan mengalih penghadang konkrit yang dipasang di luar Bangunan Parlimen di sini.

Pusat Perubatan Erawan di Bangkok melaporkan sekurang-kurangnya 55 orang, termasuk enam mengalami kecederaan akibat tembakan dan 32 orang cedera akibat gas pemedih mata semasa protes di Parlimen semalam.

Tidak jelas siapa yang melepaskan tembakan itu.

Pada sidang media semalam, timbalan jurucakap polis Kolonel Polis Krissana Pattanacharoen berkata, polis sedang menyiasat dalang di sebalik insiden tembakan berkenaan.

“Seperti yang saya umumkan sebelum ini, tiada peluru getah atau hidup digunakan oleh pihak berkuasa pada operasi (di Parlimen) semalam… kami sedang mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa respons yang diambil oleh polis mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan.

Sidang Parlimen bersambung semalam dan ahli Parlimen dijangka mengundi untuk kemungkinan pindaan perlembagaan.

Persidangan dua hari yang bermula kelmarin itu, membincangkan pelbagai cadangan untuk perubahan perlembagaan termasuk kedudukan dan keistimewaan monarki serta peranan dan kuasa Senat yang dipilih.

Pindaan perlembagaan yang digubal panel yang dilantik oleh tentera selepas rampasan kuasa pada 2014 adalah satu daripada tuntutan gerakan antikerajaan yang dipimpin oleh pelajar sejak pertengahan Julai.

Tuntutan lain termasuk meminta perdana menteri untuk berundur, pembubaran Parlimen dan reformasi monarki.

Petang semalam, ahli Parlimen mengundi tujuh draf pindaan perlembagaan.

Bagaimanapun, hanya dua daripada tujuh cadangan pindaan diterima pakai yang membenarkan perbincangan untuk perubahan perlembagaan.