Tunjuk perasaan di Thailand desak PM letak jawatan

Bangkok: Ribuan penyokong prodemokrasi membanjiri laluan di Bangkok bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha selain menuntut pembaharuan terhadap monarki.

Negara berkenaan menyaksikan perhimpunan hampir setiap hari dengan pimpinan golongan muda sejak pertengahan Julai lalu yang mendesak peletakan jawatan Prayut dan pembubaran pentadbirannya.

Sebahagian daripada mereka menuntut pembaharuan monarki Thailand yang sangat kaya dan berkuasa – topik yang pernah tabu di Thailand kerana undang-undang sangat melindungi golongan monarki.

Gerakan yang sedang berkembang itu, sebahagiannya dicetuskan oleh protes prodemokrasi Hong Kong, berjalan tanpa pemimpin utama.

Namun, perhimpunan yang dijalankan hari ini dianjurkan pelajar Universiti Thammasat, Bangkok – kumpulan yang dilihat lantang mempersoalkan peranan keluarga diraja di Thailand.

Aktivis pelajar, Panusaya Sithijirawattanakul berkata, mengubah semula monarki adalah agenda utama, menegaskan bahawa mereka berharap “untuk menyesuaikannya dengan masyarakat”.

Peserta demonstrasi juga menggunakan isyarat tiga jari, yang popular dalam trilogi Hunger Games.