Turki temui simpanan gas asli di Laut Hitam

Istanbul: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan negara itu menemui simpanan gas asli dalam jumlah yang besar di luar pantai Laut Hitam.

Menurutnya, simpanan bahan bakar itu dianggarkan berjumlah 320 bilion kubik meter.

Ia dijangka dapat dikeluarkan dan dapat digunakan menjelang 2023.

Perkembangan itu dijangka akan mengurangkan kebergantungan Turki kepada sumber tenaga yang diimport.

Ia juga dapat merangsang pasaran kewangan negara itu kini terjejas dengan nilai mata wang yang merosot ke paras terendah pada musim panas ini.

Kapal cari gali Turki sebelum ini menjalankan kerja eksplorasi di sektor Tuna-1 di barat laut itu, bulan lalu.

Sektor berkenaan terletak berhampiran lokasi di mana Romania turut menemui simpanan gas asli.

“Kita sudah melakukan sembilan kerja cari gali di Laut Mediterranean dan Laut Hitam dengan menggunakan kapal Fatih dan Yavuz.

“Usaha tidak akan berhenti sehingga kita menjadi pengeksport utama sumber tenaga,” katanya seperti dilaporkan Euronews.

Bagaimanapun, pengumuman berkenaan dilihat mencetuskan ketegangan dengan Kesatuan Eropah berikutan lokasi kerja cari gali itu dikatakan berada di barat Laut Mediterranean.

Ia berikutan Greece dan Cyprus turut melakukan kerja cari gali gas asli di kawasan berkenaan,