Ujian penerbangan rentas Atlantik

London: Syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United Airlines kini dalam percubaan untuk memastikan pesawatnya selamat dinaiki penumpang dan anak kapal, sekali gus bebas Covid-19 sebaik tiba di destinasi.

CNN melaporkan dalam usahanya itu, seramai 36 penumpang diberi peluang merasai pengalaman mengembara norma baharu sewaktu menaiki pesawat United Airlines dari Newark, AS ke Lapangan Antarabangsa Heathrow, dekat sini.

Ia adalah penerbangan sulung pesawat terbabit daripada empat kali tempoh percubaannya untuk memastikan prosedur norma baharu dipatuhi, antaranya dengan menjalankan ujian calitan kepada semua penumpang dan anak kapal.

Prosedur itu dilakukan bagi memastikan hanya penumpang dan anak kapal yang bebas daripada Covid-19 dibenarkan berada dalam pesawat.

Difahamkan, percubaan itu adalah langkah diambil bagi mengurangkan bilangan individu yang dikuarantin selepas mendarat di sesuatu destinasi.

Prosedur perlu dilalui adalah sebaik mendaftar masuk, penumpang perlu bergerak ke arah pintu pelepasan dan melalui pemeriksaan keselamatan.