Ular tedung selar pun ada Twitter

Rio de Jeneiro: Kes seorang pelajar perubatan Veterinar, Pedro Krambeck Lehmkuhl, 22, yang pernah koma akibat dipatuk ular tedung selar Monocled di Brazil mencetuskan siasatan terhadap pemerdagangan haiwan eksotik itu.

Pasukan perubatan mengalami masalah untuk mencari antivenom yang betul bagi merawat Pedro dan terpaksa dibawa dari Sao Paulo ke Rio de Jeneiro.

Persoalan timbul bagaimana ular berkenaan boleh berada di apartmen pelajar itu dan siasatan polis menemukan 16 ekor ular di kediaman milik rakan Pedro.

Malah pihak polis turut menemui tiga ekor jerung, tujuh lagi ular, belut Moray dan cicak Tupinambis di sebuah lagi rumah.

Siasatan lanjut membawa kepada pemecatan dua pegawai di Institut Alam Sekitar Brazil dan Sumber Asli yang Boleh Diperbaharui (IBAMA) kerana disyaki mereka membenarkan izin import palsu untuk pemerdagangan binatang liar.

Ibu dan bapa tiri pelajar itu, seorang kolonel polis, juga disoal siasat dan didenda RM6,926 masing-masing atas tuduhan menghalang keadilan.

Pedro yang dirawat selama enam hari di hospital, dibebaskan pula didenda RM49,705 dan masih disiasat.

Ulat tedung itu pula viral di laman sosial, selepas ia ditemui berdekatan sebuah kompleks beli belah yang didakwa dibuang oleh rakan Pedro yang mahu menutup bukti.

Sementara itu terdapat akaun twitter dibuka atas nama ular itu yang kini mempunyai 50,000 pengikut.

Antara ciapan menarik ialah “Dalam masa seminggu, saya berjaya membalas dendam terhadap penindas saya, membongkar pemerdagangan haiwan, membebaskan lebih 16 rakan, membantu jerung dan menimbulkan ketakutan di hati pemerdagangan binatang” pada 11 Julai lalu.

Ular itu kini tinggal di Zoo Brazil dan mereka memuat naik video langsung di Instagram yang memaparkan ular tedung selar terkenal itu.