Umpan anak sendiri tangkap pesalah kes rogol

Islamabad: Tindakan itu dilakukan seorang pegawai polis di Sindh, Kashmore, untuk memerangkap seorang lelaki yang sebelum itu merogol kanak-kanak berusia lima tahun dan menahan ibunya.

Asisten Sub Inspektor (ASI) Muhammad Bux Buriro, mengambil tindakan berani itu selepas ibu mangsa membuat laporan kepadanya mengenai kejadian berkenaan.

Gulf News melaporkan, dalam kejadian Khamis lalu, Bux mempertaruhkan anak perempuannya untuk menangkap perogol Alisha.

Perogol berkenaan membebaskan ibu Alisha dengan syarat dia membawa gadis lain untuk menjadi pemuas nafsu.

Bagaimanapun, wanita itu membuat laporan polis dan Muhammad menjadikan anaknya sendiri sebagai umpan, semata-mata untuk menangkap penjenayah itu.

Ketika anaknya dibawa ke sebuah hotel untuk diserahkan kepada suspek, polis bertindak menyerbu lokasi berkenaan dan menahan lelaki itu serta menyelamatkan seorang lagi gadis bawah umur.

Lelaki itu dituduh memperkosa mangsa selama dua hari selepas memperdaya mereka dengan tawaran kerja di daerah itu.

Superintendan Kanan Polis Kashmore Amjad Ali Shaikh mengesahkan penangkapan suspek dan memaklumkan kedua-dua wanita dan anaknya kini dirawat manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dihantar untuk pemeriksaan forensik.

Semalam, pihak berkuasa Sindh dan netizen memuji keberanian Bux dan anak perempuannya dalam tangkapan suspek rogol itu.

“Tanpa keberanian dan keberanian Bux, tidak mungkin kita dapat menangkap perogol ini,” kata jurucakap pihak berkuasa Sindh, Murtaza Wahab.

Mereka mengesyorkan agar Bux diberikan penghargaan tertinggi polis selain membiaya pendidikan anak perempuannya serta wang tunai sebanyak Rs1 juta (kira-kira RM26,000).