Upah pembunuh untuk pampasan insurans

New Delhi: Seorang ahli perniagaan India yang dibebani masalah kewangan memilih mengakhiri hidupnya dengan cara pelik apabila mengupah empat pembunuh upahan untuk membunuhnya supaya keluarganya mendapat pampasan insurans yang besar.

Gaurav Bansal, 40, menyara keluarganya dengan membuka sebuah kedai makan, tetapi kerana lokasinya di pusat Covid-19, dia mengalami beban kewangan yang sangat besar.

Perniagaannya merosot hingga mempengaruhi keadaan mental lelaki itu yang mengalami kemurungan teruk.

Selepas tidak mendapat jalan untuk menyelamatkan perniagaannya, Bansal membuat pinjaman peribadi sebanyak RS6100,000 (RM34,000) dan merancang untuk membunuh dirinya sendiri.

Dia pada awalnya berhasrat untuk mengakhiri hidupnya sendiri tetapi tidak berani melakukannya sendiri dan bertindak menghubungi pembunuh upahan.

Pada 10 Jun lalu, polis negara itu menemui mayat Bansal yang tergantung di sebatang pokok berhampiran kawasan Najafgarh di New Delhi.

Siasatan awal polis menolak kemungkinan mangsa membunuh diri kerana tangannya diikat sebelum pihak berkuasa membuka kes berkenaan sebagai pembunuhan dan siasatan dimulakan.

Menurut timbalan pesuruhjaya A Koan, satu daripada empat individu yang diupah oleh Bansal untuk membunuhnya adalah seorang remaja dikesan menerusi rakaman panggilan kepada ahli perniagaan itu dan aktiviti di media sosial.

Lelaki itu mengaku melakukan pembunuhan itu bersama tiga rakan lain iaitu pelajar berusia 18 tahun, penjual sayur berusia 21 dan tukang jahit berusia 26 tahun.

Hasil soal siasat, tertuduh mengaku pembunuhan itu dan mendakwa Bansal meyakinkan mereka akan menolongnya kerana ingin mati dan keluarganya akan menerima sejumlah wang insurans yang besar.

Pada mulanya, mereka merancang untuk menembaknya tetapi seorang penjual senjata enggan menjual pistol kepada remaja itu.

Kemudian Bansal sendiri bercadang untuk menggantung diri dan meminta empat daripada mereka melakukannya dengan bayaran Rs90,000 (RM5,000).

“Bansal mengupah budak bawah umur untuk membunuhnya dan membayar wang kepada mereka untuk membunuhnya.

“Mereka mendedahkan keluarga Bansal akan menerima pampasan insurans jika mereka membunuhnya,” kata A Koan kepada agensi berita tempatan dan menambah mangsa bertemu dengan remaja itu di media sosial.

Pada hari kejadian, Bansal ke Taman Mohan untuk menemui pembunuhnya dan memilih tempat untuk digantung.

Apabila tiba waktunya, dia meminta keempat-empat pembunuh itu mengikat tangannya, menyimpan kad pengenalannya di dalam poket untuk memastikan jasadnya mudah dikenali dan akhirnya mengalihkan panggilan telefonnya ke nombor abang iparnya.

Kematian Gaurav Bansal pada awalnya dilaporkan sebagai pembunuhan yang mencurigakan, tetapi beberapa hari yang lalu, INDIA TV mendedahkan rancangan rumit yang disusun oleh lelaki itu untuk mengakhiri hidupnya sendiri adalah semata-mata bagi memastikan keluarganya menerima pampasan daripada syarikat insurans.

Sementara itu, keluarga Bansal masih tidak mempercayai dakwaan hasil siasatan polis.

“Polis tidak memberitahu kami mengenai perkara ini. Sukar bagi kami untuk mempercayai Bansal dibunuh oleh remaja yang ditemuinya di media sosial.

“Dua hari lalu, polis memberitahu mereka sudah menangkap empat suspek tetapi tidak memberitahu kisah pembunuhan yang dirancang ini,” kata abang ipar Bansal.