Vaksin dari China mungkin tersedia menjelang November

Beijing: Vaksin Covid-19 yang dibangunkan China dijangka boleh dipasarkan seawal November nanti, kata jurucakap China kepada stesen televisyen tempatan.

Pengeluar China yakin dengan perkembangan ditunjukkan setakat ini, dengan syarikat Sinovac Biotech dan Sinopharm turut mempamerkan calon vaksin mereka di pameran perdagangan di Beijing bulan ini.

Wakil firma berkenaan berharap vaksin yang dibangunkan akan diluluskan selepas fasa tiga ujian percubaan dilaksanakan seawal hujung tahun ini.

Isnin lalu, ketua pakar keselamatan bio di Pusat Kawalan Penyakit China memberitahu CCTV bahawa vaksin akan tersedia untuk masyarakat umum “sekitar November atau Disember.”

Wu Guizhen tidak menyatakan vaksin mana yang dimaksudkan namun menyebut “berdasarkan keputusan ujian klinikal fasa tiga, perkembangan semasa sangat lancar”.

Wu berkata, beliau turut mengambil suntikan vaksin pada April dan berasa sangat baik dalam tempoh beberapa bulan ini, walaupun tidak menyatakan vaksin mana yang dipilih.

Ketika ini, terdapat sembilan calon vaksin berada dalam fasa akhir ujian ke atas manusia.

Sebilangan calon vaksin China telah ditawarkan kepada pekerja penting dalam program penggunaan kecemasan.

Jurucakap Sinovac memberitahu AFP bulan ini bahawa “puluhan ribu” orang secara sukarela telah mengambil vaksinnya, termasuk 90 peratus pekerja dan keluarganya – antara 2,000 dan 3,000 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19