Vietnam catat kematian pertama

Hanoi: Vietnam merekodkan kematian pertama akibat Covid-19 semalam selepas kes jangkitan kembali ke negara berkenaan.

Mangsa, seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia di Hoi An selepas hampir tiga minggu dimasukkan ke hospital berikutan mempunyai sejarah penyakit, lapor media tempatan.

Sebelum ini, Vietnam dipuji kerana berjaya mengawal penularan Covid-19 melalui kawalan pergerakan yang ketat, langkah kuarantin yang meluas selain regim pengesanan berkesan.

Namun, wabak berkenaan kembali menjengah Vietnam selepas kes jangkitan baharu dikesan di resort yang terletak di Danang, berhampiran Hoi An.