Wakil rakyat anjur konsert dangdut di tengah pandemik

Tegal, Jawa Tengah: Seorang wakil rakyat di Kota Tegal, di sini, menimbulkan kemarahan orang awam kerana menganjurkan konsert dangdut di saat Indonesia berdepan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Konsert dangdut itu diadakan di Tegal Selatan dipercayai sempena majlis perkahwinan dan ia dihadiri ribuan orang awam di lokasi seluas padang bola sepak.

Kompas melaporkan, berdasarkan pemerhatian dibuat, penonton yang menyaksikan konsert berkenaan tidak menerapkan protokol kesihatan.

Malah, ada di antara mereka tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak fizikal antara satu sama lain.

Ketua Polis Tegal Selatan, Joeharno berkata, pihaknya memberikan kebenaran untuk acara itu diadakan namun, ketika permohonan dibuat, penganjur mengatakan hanya pentas kecil disediakan bagi persembahan dangdut itu.

“Pada awal permohonan, mereka mengatakan hanya pentas kecil disediakan untuk bilangan tetamu yang terhad. Namun, tidak sangka bahawa pentas besar yang tersedia.

“Maka, kami mengarahkan agar pentas itu ditutup supaya tidak ada acara dijalankan pada waktu malam,” katanya.

Namun, katanya, persembahan dangdut itu tetap berlangsung dan pihaknya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Kami tidak boleh memaksa persembahan itu dihentikan kerana kekurangan anggota,” katanya.

Sementara itu, pihak polis juga sudah memanggil penganjur untuk siasatan lanjut berkaitan acara yang diadakan itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19