Walmart, Microsoft beli TikTok?

San Francisco: Peruncit terbesar Amerika, Walmart akan bekerjasama dengan Microsoft untuk membeli TikTok, aplikasi video pendek milik China yang mendapat tentangan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Aplikasi itu menjadi punca ketegangan hubungan diplomatik antara Washington dan Beijing sejak Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos memberi rakyat Amerika 45 hari untuk berhenti menggunakan aplikasi milik syarikat induknya ByteDance.

Presiden itu mendakwa TikTok mungkin menjadi alat risikan China, namun dinafikan berulang kali oleh syarikat Internet gergasi dimiliki China, ByteDance.

Perintah itu secara efektif menetapkan tarikh akhir penjualan TikTok kepada syarikat AS.

“Kami yakin perkongsian Walmart dan Microsoft untuk memenuhi harapan pengguna TikTok di AS sambil memuaskan hati kerajaan AS,” kata peruncit itu kepada AFP.

Walmart mungkin berminat untuk mengambil alih TikTok dan membantunya berhubung dengan lebih baik dengan pembeli muda yang beralih ke Internet untuk trend gaya hidup, menurut penganalisis.

Orang muda lebih cenderung membeli-belah di Walmart, sama ada dalam talian atau di kedai, menurut pengarah urusan GlobalData Retail Neil Saunders.

“Platform sosial seperti TikTok akan memberi Walmart akses mudah kepada pengguna untuk menariknya membeli di Walmart,” kata Saunders.

Rabu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif TikTok Kevin Mayer meletakkan jawatan disebabkan tekanan berterusan oleh AS ke atas aplikasi perkongsian video popular itu.

Dalam surat kepada pekerja, Mayer dipetik berkata, beliau membuat keputusan itu berikutan perubahan dramatik dalam persekitaran politik.