Wanita 90 tahun, penerima vaksin pertama di UK

London: Seorang wanita berusia 90 tahun menjadi individu pertama di United Kingdom (UK) yang menerima vaksin Covid-19 yang dihasilkan Pfizer-BioNTech.

Margaret Keenan yang akan berusia 91 tahun minggu depan berkata, ia adalah hadiah ulang tahun kelahiran yang terbaik buat dirinya, lapor BBC.

Margaret berasal dari Enniskillen di Ireland Utara dan tinggal di Coventry.

“Saya rasa terharu untuk menjadi orang pertama yang diberi vaksin Covid-19, ini adalah hadiah ulang tahun kelahiran awal yang terbaik,” katanya.

Dia yang juga bekas pembantu kedai barang kemas dan sudah bersara menerima suntikan vaksin itu daripada jururawat May Parsons di sebuah hospital tempatan.

Ia sebagai sebahagian daripada ‘Operation Courageous’, program vaksinasi besar-besaran di United Kingdom (UK).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada May dan staf NHS (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan) yang sangat menjaga saya, dan nasihat saya kepada sesiapa sahaja yang menawarkan vaksin tolonglah ambil.

“Jika saya dapat memilikinya pada usia 90 tahun, maka anda juga boleh memilikinya,” kata warga Britain itu.

UK adalah negara pertama di dunia yang mula menggunakan vaksin Covid-19 oleh Pfizer selepas pengawal selia menyetujui penggunaannya minggu lalu.

Bagaimanapun, suntikan vaksin tidak diwajibkan di negara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19