Wanita dibakar hidup-hidup

Jogjakarta: Wanita meninggal dunia selepas enam minggu menerima rawatan apabila dibakar hidup-hidup oleh seorang lelaki yang berang kerana cintanya ditolak mangsa.

Catur Atminingsih berasal dari daerah Kapanewon Sentolo disahkan meninggal dunia di Hospital Daerah Wates di Kulun Progo di sini, semalam.

Kematian mangsa disahkan Ketua Perhubungan Awam Polis Kulon Progo, IPI Nengeh Jeffry selepas mangsa menerima rawatan selama enam minggu di hospital.

Mangsa dikatakan disimbah petrol oleh lelaki dikenalinya sebelum dibakar hidup-hidup pada 5 September lalu.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa melecur hampir separuh daripada badannya termasuk muka, dada, perut dan tangan.

Menurut laporan portal berita Kompas.com, mangsa dikategorikan sebagai melecur tahap tiga kerana kecederaan dialami sudah mencederakan lapisan bawah kulit.

Kejadian itu disedari penduduk kampung yang kebetulan tidak jauh dari lokasi dia dibakar sebelum dikejarkan ke hospital.

Penduduk juga membuat laporan polis bagi mengesan suspek yang melarikan diri sejurus kejadian.

Polis tidak menolak kejadian bermotifkan cemburu kerana cinta dan kini lelaki bernama Agus diburu.

Suspek yang berasal daei daerah Sentolo giat diburu polis dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun.