Wanita ‘diratah’ empat lelaki berulang kali

Karachi: Seorang wanita di Pakistan berdepan episod hitam dalam hidupnya apabila dirogol berulang kali olehempat lelaki, dalam tempoh 21 hari.

Ia selepas wanita berasal dari wilayah Punjab dijual oleh suaminya kepada empat lelaki terbabit, pada harga hanya 5,000 rupee (kira-kira RM278).

Portal Deccan Herald melaporkan, wanita itu dipercayai diperkosa di satu lokasi di Sargodha, kira-kira 200 kilometer dari Lahore.

Dalam tempoh 21 hari itu, suspek dikatakan merogol mangsa berkali-kali.

Mangsa kemudian berjaya melarikan diri sebelum melaporkan kejadian itu kepada balai polis terdekat.

Bagaimanapun, wanita itu mendakwa polis di situ pada awalnya tidak mahu mengambil laporannya.

Ia menyebabkan mangsa mengugut untuk melaporkan kepada badan kehakiman Sargodha.

Susulan itu, polis menerima laporan mangsa.

Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kes jenayah seksual dan keganasan terhadap wanita yang semakin meningkat di Pakistan.

Media sebelum ini melaporkan kes membabitkan seorang wanita dirogol dua lelaki, di depan anaknya.

Kes terbabit bukan sahaja menggemparkan negara, malah menimbulkan kemarahan rakyat apabila polis menyalahkan mangsa.

Akhirnya, pegawai di pejabat polis bernama Umar Sheikh tampil memohon maaf selepas menerima tekanan daripada orang ramai.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pula dilaporkan pernah mencadangkan supaya perogol dikenakan hukuman mati.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dapat dilaksanakan berikutan ia bakal memberi kesan kepada hubungan negara itu di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Imran berkata, ia mungkin memberi kesan kepada hubungan perdagangan negara itu dengan negara Kesatuan Eropah.