Wanita hantar surat beracun didakwa

New York: Seorang wanita Kanada didakwa di mahkamah persekutuan di Buffalo, di sini, pada Selasa kerana menghantar surat mengandungi racun risin kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Bagaimanapun, Pascale Ferrier, 53, dari Quebec, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kenneth Schroeder

Pada prosiding itu, pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Perancis.

Tertuduh turut meminta mahkamah melantik peguam bagi dirinya.

Berdasarkan pertuduhan yang disiarkan kepada umum pada Selasa, Ferrier menghantar sampul surat kepada Rumah Putih yang mengandungi racun risin.

Risin adalah protein tumbuhan yang amat toksin daripada biji benih pokok jarak.

Surat itu antara lain mengandungi nota; “Saya menemui nama baharu kepada anda ‘The Ugly Tyrant Clown’ (Badut Zalim Hodoh). Saya harap anda sukakannya”.

“Kamu merosakkan AS dan menyebabkan malapetaka,”

“Berhenti daripada bertanding pada pilihan raya kali ini. Jadi saya membuat hadiah terbaik untuk kamu. Ini hadiahnya.”

“Jika ia tidak menjadi, saya akan mencari resipi untuk racun lain, atau saya akan gunakan senjata api saya apabila berpeluang datang ke sini. “

Menurut afidavit di mahkamah, pasukan penyiasat menemui enam lagi surat untuk yang dihantar ke Texas pada pertengahan September ketika Ferrier ditahan pada 2019 kerana memiliki senjata api.

Dia menggunakan bahasa sama untuk surat berlainan dan akuan media sosialnya yang dikaitkan dengannya.

Pada prosiding Selasa itu, Ferrier kurang berkata-kata dan hanya meminta tarikh sebutan semula pada 28 September.

Bagaimanapun, wanita itu kini ditahan di lokap kerana berisiko untuk melarikan diri.

Berita berkaitan

• Surat beracun dikirim untuk Trump