Wanita Indonesia disyaki dalang serangan bom

Manila: Dua pengebom berani mati wanita, seorang daripadanya adalah warga Indonesia, disyaki menjadi dalang kepada dua serangan bom di Pulau Jolo, wilayah Sulu di selatan Filipina, Isnin lalu.

Pada kejadian itu, sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh, manakala 75 lagi dilaporkan cedera.

Al-Jazeera yang memetik laporan ABS-CBN melaporkan Komander Tentera Filipina Leftenan Jeneral Cirilito Sobejana berkata, salah seorang daripada penyerang berkenaan dipercayai

isteri kepada pengebom berani mati dalam serangan pertama seumpamanya di Filipina pada 2019.

Beliau berkata, ketika ini, pasukan penyiasat masih mengumpul serpihan badan penyerang untuk mengenal pasti sama ada seorang daripadanya adalah wanita Indonesia berkenaan.

Sebelum serangan berkenaan, pihak berkuasa giat memburu dua pengebom berani mati wanita di wilayah berkenaan.

Salah seorang daripadanya adalah wanita Indonesia yang juga balu kepada Norman Lasuca. Lelaki itu adalah individu yang melakukan serangan berani mati dengan meletupkan bahan letupan di badannya pada Indanan, Sulu, pada Jun 2019 dan menyebabkan enam terkorban.

Seorang lagi wanita adalah wanita Filipina adalah isteri kepada Abu Dalha, pemimpin kepada unit Abu Sayyaf.

Serangan pada Isnin itu berlaku berhampiran gereja Katolik di Jolo di mana dua pengebom berani mati meletupkan diri pada Januari 2019, menyebabkan 21 terbunuh.