Wanita Iran ditahan tunggang basikal tanpa hijab

Tehran: Seorang wanita muda di Iran ditahan di tengah Iran selepas satu video menunjukkannya menunggang basikal tanpa memakai hijab, kata media rasmi negara itu.

“Seorang individu yang baru sahaja melanggar norma dan menghina hijab di wilayah ini sudah ditahan,” kata Gabenor Najafabad, Mojataba Raei kepada agensi berita IRNA.

Video pendek yang diambil dengan telefon bimbit itu beredar di jaringan media sosial dengan memaparkan individu berkenaan yang dilihat tidak berhijab.

Dia dilihat menunggang basikal di hadapan sebuah masjid.

Wanita yang berambut panjang, yang wajahnya dikaburkan itu, juga dilihat beberapa kali mengangkat tangan ketika menunggang basikal berkenaan.

IRNA berkata, video menunjukkan wanita menunggang basikal tanpa memakai hijab di dataran utama berdepan dengan masjid terbabit menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penduduk dan golongan agama di Najafabad.

Menerusi undang-undang Islam sejak Revolusi Iran 1979, wanita perlu memakai hijab yang menutup kepala, leher dan rambut.

Bagaimanapun, sejak dua dekad lalu, ramai wanita Iran yang tidak mengikuti arahan berkenaan sebaliknya mengenakan hijab pada bahagian lebih atas kepala dan menunjukkan lebih banyak rambut mereka, terutama di Tehran dan bandar besar yang lain.

“Motif dia (wanita terbabit) berbuat demikian masih disiasat,” kata gabenor Najafabad, tanpa mendedahkan identiti wanita terbabit.

Beliau menambah, penduduk bandar itu turut mengadakan demonstrasi aman bagi membantah tindakan wanita itu.