Warga emas maut dicederakan gajah, tiga cedera

NEW DELHI: Gempar apabila seekor gajah liar dilaporkan memasuki beberapa kampung di Uttar Pradesh yang terletak di Utara India hingga menyebabkan seorang lelaki berusia 70 tahun maut dipercayai akibat dicederakan haiwan berkenaan.

Daily Star melaporkan, mangsa dikenali sebagai Pannaalaal Aayu dan tiga lagi penduduk turut cedera manakala beberapa rumah penduduk serta kenderaan musnah dalam kejadian berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 16 Ogos lalu di kampung Saraipur Ismail dan kawasan berhampiran yang di bawah seliaan balai polis Uttaraon di daerah Prayagraj.

Sebuah rakaman video menunjukkan mamalia besar berkeliaran di jalanan dan kelihatan penduduk kampung bersembunyi di di atas bumbung untuk menyelamatkan diri.

Gajah berkenaan turut dilihat merempuh tiang elektrik hingga tumbang ke atas tanah.

Susulan kejadian itu, pasukan jabatan hutan khas dari Kanpur, Agra dan Mathura dikerahkan untuk menangkap gajah berkenaan bagi mengelak berlakunya lebih banyak kerosakan

Namun, percubaan itu gagal hingga terpaksa mendapatkan bantuan daripada sepasukan doktor dari Gorakhpur dan Mathura untuk menenangkan gajah yang mana operasi berakhir selepas lima jam.

Difahamkan, gajah berkenaan adalah kepunyaan mantan Ahli Parlimen Nagendra Singh Patel, yang mengimport haiwan itu dari negara jiran, Bihar.

Gajah itu akan dirawat di kampung sebelum tindakan selanjutnya diambil.