Wartawan dibunuh
Mexico City: Wartawan, Jorge Armenta, menjadi pemberita ketiga dibunuh di Mexico selepas ditemui mati di Ciudad Obregon yang terletak di utara, negara itu, semalam.
Pihak pendakwa wilayah dalam satu kenyataan berkata, Jorge Armenta yang juga Pengarah media digital Medios Obson terkorban akibat serangan bersenjata.
“Seorang anggota polis turut terbunuh manakala seorang lagi cedera,” katanya.
Menurut kumpulan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF), Armenta sebelum ini menerima ugutan dan diletakkan di bawah perlindungan kerajaan.
RSF, yang memaklumkan Armenta adalah wartawan ketiga dibunuh tahun ini, sedang melakukan siasatan terhadap perlindungan yang diberi kepadanya.
RSF kerap menyenaraikan Mexico bersama Syria dan Afghanistan sebagai negara paling berbahaya untuk anggota media.
Keganasan berkait pengedaran dadah serta rasuah politik berleluasa dan kebanyakan pembunuhan seumpamanya tidak mendapat keadilan sewajarnya.