Wartawan mati dipenggal

Mexico: Wartawan ditemui dengan kepalanya dipenggal di kawasan yang terkenal dengan aktiviti jenayah keganasan di timur Mexico, pada Rabu.

Mangsa, Julio Valdivia, berkhidmat dengan akhbar El Mundo de Veracruz.

Menteri Keselamatan Hugo Gutierrez merangkap Ketua Polis Veracruz mengecam pembunuhan itu sebagai tindakan pengecut.

“Kita akan menggunakan semua cara untuk mencari pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya.

Menurut El Mundo de Veracruz., mayat Valdivia dan motosikal mangsa ditemui di landasan kereta api di kawasan perbandaran Tezonapa,

Berdasarkan maklumat daripada badan pemerhati media, Reporters Without Borders, lelaki itu adalah wartawan kelima yang mati dibunuh di Mexico tahun ini.

Ia menyebabkan pihak berkuasa melakukan siasatan sama ada pembunuhan lelaki itu ada kaitan dengan tugasnya sebagai wartawan.

Mexico sudah lama diklasifikasikan sebagai negara paling berbahaya untuk wartawan.

Lebih 100 wartawan sudah dibunuh di Mexico sejak 2000.

Bagaimanapun, hanya sebahagian kecil daripada kes berkenaan membabitkan pelakunya yang sudah disabitkan dengan kesalahan.

Dalam salah satu kes, seorang lelaki dihukum penjara 50 tahun selepas mengarahkan pembunuhan seorang wartawan terkemuka negara itu, Miroslava Breach pada 2017.