WHO bimbang kesan jangka panjang Covid-19

Geneva: Dunia masih cuba memahami virus Covid-19 yang ternyata bukan sekadar boleh membawa maut tetapi mampu mencetuskan kesan jangka panjang terhadap individu.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kerajaan perlu memperakui risiko kemungkinan kesan jangka panjang akibat Covid-19 dengan menyediakan penjagaan bersesuaian dan capaian khidmat kesihatan.

“Ia termasuk perkhidmatan kesihatan utama dan sekiranya perlu, penjagaan khusus dan pemulihan,” katanya ketika sidang media secara maya, pada Jumaat.

Tedros berkata, perubahan bentuk gejala yang tercetus daripada wabak Covid-19 sehingga kini mengundang keresahan pelbagai pihak.

Menurutnya, gejala yang direkodkan setakat ini merangkumi kelesuan, batuk, sesak nafas, radang dan kecederaan terhadap organ utama tubuh badan.

“Organ yang dimaksudkan termasuk paru-paru dan jantung, selain kesan neurologikal dan fisiologikal. Gejala ini lazimnya berlaku pada waktu sama serta mampu menjejaskan mana-mana sistem badan,” katanya.

Pakar epidemiologi dari Institut Perubatan Tropika Liverpool, England Prof Paul Garner, pada mulanya dilaporkan sihat dan cergas, sebelum tiba-tiba dijangkiti wabak berkenaan pada Mac lalu.

Selama empat bulan, beliau ‘bertarung’ dengan siri gejala berikutan Covid-19 seperti kelesuan, sakit kepala, gangguan emosi dan pelbagai perubahan lain.

Tiga bulan kemudian, pakar epidemiologi berkenaan mengalami kelesuan yang amat teruk sehingga menjejaskan urusan hariannya.

“Apabila saya terlalu aktif, sakit itu akan kembali dan ia langsung tidak boleh dijangka. Saya langsung tidak sangka bahawa selama tujuh bulan, kehidupan saya terjejas angkara virus ini.

“Kini ia lenyap begitu saja,” katanya yang dilaporkan pulih daripada Covid-19, sejak dua minggu lalu.

Mengulas perkongsian berkenaan, Tedros berkata, kerajaan wajar memberikan penekanan terhadap kes sedemikian, dengan menyediakan rawatan atau penjagaan untuk jangka panjang sehingga pesakit pulih sepenuhnya.

“Ini juga memberi kesedaran mengenai harapan untuk kita mencapai imuniti kelompok yang kini mustahil untuk dijayakan, malah ia akan mengundang jutaan lagi kematian dan mencetuskan kesan jangka panjang terhadap golongan tertentu.

“Satu saja harapan kita sekarang untuk mencapai imuniti kelompok ialah vaksin Covid-19 yang perlu diedarkan di seluruh dunia secara saksama.

“Sebelum kita ada vaksin, kerajaan dan rakyat perlu saling bekerjasama untuk melandaikan lengkuk rantaian penularan yang dikenal pasti sebagai jalan terbaik bagi mengekang sebarang kesan jangka panjang daripada wabak ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19