Wira ‘penggera’ selamatkan penghuni bangunan runtuh

New Delhi: Seorang remaja lelaki dianggap wira selepas menjadi ‘penggera’ sekali gus menyelamatkan nyawa 75 penduduk daripada terperangkap dalam runtuhan bangunan dua tingkat di Dombivli dekat sini.

Hindustan Times melaporkan, insiden mencemaskan itu dilaporkan berlaku pada Khamis lalu.

Ketika itu, remaja yang dikenali sebagai Kunal Mohite,18, masih belum tidur kerana melayari Internet.

“Ketika itu, saya masih belum tidur kerana asyik menonton drama bersiri di Internet.

“Kira-kira 4 pagi, saya ternampak kesan retakan pada dinding dapur rumah dan mula berasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Tanpa berlengah, saya terus kejutkan ahli keluarga yang sedang tidur selain memanggil jiran lain untuk menyelamatkan diri dan tidak lama kemudian bangunan kami diami runtuh,” katanya.

Berdasarkan sumber rasmi, bangunan di kawasan Kopar itu diisytiharkan berisiko untuk didiami sejak sembilan lalu.

Penduduk sudah dinasihatkan untuk berpindah keluar daripada kawasan berkenaan.

“Kami ada menerima notis pemberitahuan daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.

“Namun, rata-rata penduduk di sini bukan orang senang jadi tiada wang untuk berpindah ke tempat lain.

“Disebabkan itu, kami masih kekal tinggal di situ sehingga berlakunya kejadian tempoh hari,” katanya.