Wuhan kembali meriah dengan pelancong

Wuhan : Menggemparkan apabila tular beberapa gambar di laman sosial yang menunjukkan ratusan individu menyertai pesta air yang diadakan di Taman Tema Pantai Maya, di sini, baru-baru ini.

Daily Star melaporkan, gambar menunjukkan pelancong terbabit bersuka ria dengan duduk dan berada berhampiran satu sama lain di dalam pelampung masing-masing.

Mereka seolah-olah tidak mengendahkan ancaman penularan Covid-19.

Menerusi gambar lain pula menunjukkan pengunjung taman akuarium, Polar Ocean World Wuhan beratur dengan memakai pelitup muka namun tidak melakukan penjarakan fizikal.

Kelihatan lebih 100 pengunjung taman tema berkenaan menaiki tangga dalam keadaan yang bersesak-sesak.

Gambar lain pula menunjukkan, seorang wanita menanggalkan pelitup muka untuk bercakap dengan rakannya di telefon, manakala seorang lagi lelaki bertindak serupa untuk menghisap rokok.

Minggu lalu, Wuhan yang menjadi pusat wabak Covid-19 kembali sibuk dengan pelancong.

Ia susulan pengumuman dibuat oleh pemerintah wilayah berkenaan yang membenarkan tarikan pelancong dibuka semula.

Situasi kini nyata berbeza berbanding ketika sekatan pergerakan dilaksanakan bermula 23 Januari sebelum ditamatkan pada 8 April.

Sepanjang tempoh itu, pihak berkuasa mengambil langkah drastik dengan menghalang 11 juta penduduk Wuhan meninggalkan bandar itu.

Hanya perkhidmatan asas saja dibenarkan beroperasi dalam tempoh berkenaan dan pergerakan di luar kediaman juga terhad.

The Sun melaporkan, berdasarkan maklumat rasmi, seramai 3,000 maut akibat Covid-19 di Wuhan.